Isu Pelajar Lelaki ‘Lepak’ Rumah Pelajar Perempuan Membimbangkan

Tarikh

Islam adalah agama berprinsip. Sejak wahyu pertama diturunkan kira-kira 1409 tahun dahulu, zaman telah berubah, manusia telah melalui beberapa fasa perubahan dari segenap aspek akan tetapi prinsip dalam Islam kekal relevan sehingga ke hari ini.

Satu prinsip yang kekal relevan hingga ke hari ini adalah prinsip dan perihal menjaga “ikhtilat” atau batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Dewasa ini, kita sering melihat golongan lelaki dan wanita tidak lagi atau longgar dalam menjaga adab pergaulan sesama mereka. Ini dapat dilihat di Malaysia amnya dan di luar negara khususnya dalam kalangan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di sini.

Budaya pelajar bujang lelaki menjemput pelajar bujang wanita ke rumah atau sebaliknya atas alasan jemputan makan, belajar dan pelbagai lagi jelas dapat dilihat berlaku dalam kalangan pelajar kita. Itu baru ke rumah, belum ambil kira yang melancong bersama berdua-duaan atau dalam kumpulan yang bercampur lelaki dan wanita.

Perkara-perkara yang berlaku di atas adalah sebahagian daripada realiti yang berlaku di UK malah tempat lain. Dan kerana ianya berlaku bukan atas keperluan, hajat mahupun darurat yang dibenarkan maka ianya adalah haram (Abd al-Karim az-Zaidan, al-Mufassal fi al-Ahkam al-Mar’ah: 3/422).

Menjaga ikhtilat dan batas pergaulan jelas telah disebut oleh Allah dalam Al-Quran dimana Allah berfirman:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka;”

-Sura An-Nur, Ayat 30-31

Ayat ini jelas menunjukkan betapa pentingnya untuk lelaki dan wanita menjaga ikhtilat dan pandangan dengan tujuan agar ianya dapat membawa kepada terjaganya keturunan dan maruah.

Oleh itu, kepada pelajar-pelajar Malaysia yang beragama Islam yang menuntut di luar negara, jagalah ikhtilat dan pandangan anda. Dalam kita asyik bersosial untuk mengenali budaya masyarakat Barat serta menerima arus pemodenan yang di bawa mereka, ingatlah kita bawah prinsip Islam adalah segala-segalanya. Hanya dengan teguhnya prinsip ini yang membezakan kita dengan mereka. Hanya dengan terteguhnya prinsip ini, kita dapat menyelamatkan maruah kita, keturunan kita dan juga masyarakat kita daripada terjerumus ke dalam lembah maksiat dan pelbagai lagi penyakit sosial yang lain.

Sebagai menutup, akal dan perasaan malu adalah benteng terakhir kita yang membezakan kita dengan binatang. Jika kita tidak faham bahawa menjaga ikhtilat adalah kerana tuntutan agama, jagalah ikhtilat kerana kita ada perasaan malu dalam diri kita sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الإيمَان

“Sifat malu adalah sebahagian daripada Iman”

(Hadith riwayat al-Bukhari, No. Hadith : 9 , Muslim, No. Hadith : 35)

Adli Adnan
Ketua Biro Tarbiyah
Isma UK-Eire

More
articles