Pengajaran Kemelut Politik Malaysia

Tarikh

Rakyat Malaysia telah mengalami beberapa acara politik yang menarik yang tidak dihadapi sebelum ini. Daripada keluarnya PBBM dari PH, Tun Mahathir meletak jawatan, menjadi Perdana Menteri Interim (Pertama kali dalam sejarah Malaysia) dan Lantikan Tan Seri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8.

Sedikit latar belakang

Pergolakan ini bermula apabila komponen-komponen parti Pakatan Harapan (PH); PKR, DAP dan PAN terus mendesak Tun Mahathir untuk menyerah jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim, dengan kemuncaknya dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH 21 Februari lepas. Susulan daripada itu, terdapat perjumpaan tertutup yang mengumpul ahli-ahli politik dan parlimen daripada pelbagai parti politik sehingga timbulnya khabar angin akan didirikan ‘kerajaan pintu belakang’.

Susulan daripada situ, beberapa siri permainan politik yang sangat mengelirukan serta menggelisahkan rakyat terjadi di Malaysia. Bermula daripada ;

  1. Tun Mahathir meletak jawatan PM ke-7
  2. DAP, PAN dan PKR menyatakan sokongan kepada Tun Mahathir sebagai PM
  3. Beliau dilantik sebagai PM interim
  4. Beliau kembali menjadi pengerusi BERSATU
  5. Komponen parti PH mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai PM ke-8
  6. Tun Mahathir mencalonkan diri sebagai PM ke- 8
  7. Tan Sri Muhyiddin dilantik sebagai PM ke-8

Dengan pelbagai perkara berlaku antara siri-siri tersebut dan selepasnya.

Kemelut sekarang, apa/siapakah dalang?

Seperti yang ditulis di atas, antara yang mengerakkan siri-siri politik ini apabilanya berlakunya perebutan kuasa dalam antara parti komponen. Wujudnya 2 calon yang mempunyai penyokong tegar serta mempunyai tujuan dan kehendak politik yang berbeza yang akhirnya menyebabkan ketidakstablian politik hari ini.

Selain itu, ketidakpercayaan rakyat hari demi hari dengan kerajaan sekarang yang hanya meratib ‘rule of law’ tetapi yang sebaliknya berlaku hanya mengeruhkan lagi keadaan.  Kes 12 individu dikaitkan dengan LTTE digugurkan, Muhammad Adib masih belum mendapat keadilan, institut agama dipertikai dan bermacam perkara lagi.

Kesetiaan kepada raja dan negara

Namun begitu, terdapat satu pengajaran yang baik timbul hasil daripada kemelut yang melanda ini iaitu betapa pentingnya institut kesultanan dalam memastikan kestabilan negara Malaysia. Sepanjang pergolakan politik ini, Yang Dipertuan Agong telah memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan kerajaan berfungsi dengan baik, apatah lagi setelah PBBM keluar daripada PH menyebabkan telah kurang kerusi majoriti PH.  Baginda bertindak dengan bijak dengan melantik PM interim, memanggil setiap ahli parlimen ke istana untuk bertemu duga dan mencalonkan PM ke-8 yang baharu dan sehingga akhirnya melantik Tan Sri Muhiyudin sebagai PM ke-8 dan bertegas dengan keputusan baginda setelah ahli parlimen membuat pusingan memberi sokongan semula kepada Tun Mahathir. Apa yang perlu kita sedari ialah segala pelaksanaan dan tindakan YDPA masih dalam lingkungan perlembagaan dan undang-undang.

Pengajaran untuk mahasiswa luar negara

Sebagai pelajar luar negara, yang dilihat sebagai pemimpin negara apabila pulang ke Malaysia nanti, begitu penting untuk kita melihat politik di Malaysia dengan kaca mata yang betul. Pergolakan politik di Malaysia perlu menginsafi pelajar-pelajar untuk mengundi dengan pandangan yang luas pada PRU seterusnya. ISMA sendiri membawa arus baharu dengan slogan ‘Undilah Calon Muslim Berwibawa’ agar rakyat Malaysia keluar daripada ketaksuban kepartian dan mengundi calon yang dapat mentadbir dengan acuan politik Malaysia yang tersendiri.

Apakah teras acuan politik Malaysia? Iaitu dengan Melayu, Islam dan Raja yang berteraskan dengan perlembagaan tanpa menafikan hak bangsa lain. Dengan menghormati hak-hak Melayu dan institusi Umat Islam di Malaysia yang penuh dengan sejarah tersendiri. Yang mendaulatkan institusi Raja yang jelas kelihatan hari ini betapa pentingnya dalam menjamin kestabilan negara ini. Moga kita menjadi rakyat yang menjunjung aspirasi negara, selari dengan acuan unik tanah air ini tersendiri iaitu berteraskan perlembagaan dan rukun negara.

Muhammad Hafidz Bin Romli

Setiausaha Agung ISMA UK-Eire

More
articles