Pencapaian Cemerlang Ketua Beliawanis Eropah

Tarikh

Sekalung tahniah diucapkan kepada Puan Suhailah Sukri, Ketua Beliawanis Eropah, di atas kejayaan beliau menamatkan latihan profesional (pre-registration training), yang membolehkan beliau untuk berkhidmat sebagai ahli optometri bertauliah di United Kingdom.

Beliau telah mendapat pengiktirafan daripada The College of Optometrist, sebuah badan profesional optometri di United Kingdom. Pengiktirafan tersebut sekaligus memberikan beliau gelaran MCOptom, sebagai ahli yang berdaftar di bawah The College of Optometrist.

Beliau yang tampil hadir di majlis pengiktirafan anjuran The College of Optometrist yang diadakan di Central Hall Westminster London ketika ditemu bual berkata,

“Syukur Alhamdulillah, pengiktirafan yang saya peroleh pada hari ini hanyalah titik permulaan bagi perjalanan yang lebih panjang. Tanpa doa dan dorongan orang sekeliling, misi ini pasti akan menjadi lebih mencabar”

Beliau menambah lagi,

“Kerjaya sebagai ahli optometri di Malaysia masih kurang jelas dalam kalangan masyarakat kita. Oleh itu, saya terpanggil untuk menyahut cabaran bagi menyambung latihan di sini menggunakan peluang yang saya ada sebagai graduan optometri universiti tempatan di sini.”

Sebelum mengakhiri bicara, Puan Suhailah berpesan agar graduan sentiasa mencari nilai tambah dalam apa jua bidang yang diceburi. Berjiwa besar, hidup di luar zon selesa dan bersedia untuk berkorban, baik masa, tenaga dan wang, merupakan sedikit sebanyak resepi kejayaan yang dikongsikan.

Semoga kejayaan beliau dapat menjadi inspirasi buat semua ahli untuk terus berjaya dalam bidang profesional serta melaksanakan tanggungjawab lain dengan cemerlang.

ISMA Eropah mengucapkan selamat maju jaya kepada Puan Suhailah dalam meneruskan kerja amal dakwah setelah bekerja sebagai seorang ahli optometri profesional.

Mumtaz Untuk Ummat!

Disediakan oleh,
Aqilahton Hainee

More
articles